KETENTERAAN TAMADUN YUNANI
1. Penggunaan Kereta Kuda
Kaedah peperangan pada zaman awal Yunani ialah penggunaan kereta kuda. Penunggang akan melemparkan lembing ke arah lawan dan andai kata lembing yang dilontar ke arah musuh tidak kena pada sasarannya, pahlawan akan turun dari kereta kuda meneruskan peperangannya dengan berjalan kaki dan memegang lembing.
Penggunaan Phalanx
Selepas tahun 700 SM, tentera Yunani telah memperkenalkan formasi phalanx. Tanjung kekuatan tentera Yunani adalah pasukan hoplite tentera berjalan kaki berlembing, bertopi dan berbaju besi) yang disusun dalam formasi phalanx. Melalui formasi phalanx ini, tentera hoplite dengan lembing sepanjang hampir 3 meter akan berbaris rapat-rapat dalam satu barisan sehinggan lembing-lembing panjang mereka membentuk seperti duri landak. Biasanya mereka menggunakan lapan hingga sepuluh lapis barisan phalanx. Pihak musuh akan berfikir dahulu sebelum merempuh phalanx yang dilindungi oleh lembing-lembing tajam itu.
2. Tentera Elit dan Bawahan
Tentera Yunani yang bergabung dalam formasi phalanx adalah tentera-tentera elit yang terlatih dan berdisplin tinggi serta dilengkapi pakaian perang yang lengkap. Terdapat juga kumpulan lain yang berpakaian mudah, tidak dilengkapkan dengan senjata yang baik. Mereka ini dipanggil psiloi (golongan miskin).
3. Taktik Berperang
Selari dengan pembentukan phalanx, strategi peperangan orang Yunani adalah bertempur secara bersemuka/berdepan. Pasukan phalanx akan merempuh bahagian tengah musuh manakala pasukan sayap akan melakukan pemusuhan yang seterusnya apabila barisan musuh telah menjadi kucar-kacir. Dalam lain perkataan, sekiranya bahagian phalanx gagal, maka lemahlah seluruh pasukan tentera.
Latihan Tentera Sparta
Sistem politik dan kemasyarakatan Sparta adalah lebih berorientasikan ketenteraan. Golongan peer diwajibkan mengikuti latihan ketenteraan kerana mereka sering menghadapi pemberontakan dari golongan helot. Hanya bayi golongan peer yang sihat sahaja dibenarkan hidup. Ibunya memelihara anaknya selama 7 tahun dan selepas itu kerajaan mengambilnya untuk diberi latihan ketenteraan. Setiap lelaki harus berkorban untuk negaranya. Anak perempuan diberi latihan gimnastik dan ditanamkan dengan fahaman bahawa mereka mesti berkhidmat untuk negara dengan menjadi isteri yang setia.
4. Organisasi Tentera Graeco-Roman
Raja Philip II dari Makedonia telah mengubah suai struktur tentera phalanx. Jumlah anggota tentera dalam barisan phalanx telah ditambah menjadi 16 orang manakala panjang lembing ditambah menjadi 4 meter. Peralatan tentera Yunani yang ringan diubah menjadi berat. Ketahanan tambahan dititikberatkan pada baju besi yang dipakai oleh askarnya. Latihan-latihan khusus telah disediakan supaya tentera Makedonia mampu memikul beban tambahan tanpa menjejaskan kecekapan gerakan.