Sosial
Falsafah
Ramai ahli falsafah muncul dalam tamadun Yunani. Ahli falsafah merupakan golongan cerdik pandai yang menggunakan akal fikiran dan berfikiran secara rasional dalam mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang timbul dalam kehidupan. Sikap ingin tahu, berfikiran secara logik, dan sering menyoal telah melahirkan pemikiran yang kritis dalam menangani masalah yang timbul dalam kehidupan. Antara ahli falsafah yang muncul dalam tamadun Yunani ialah Socrates, Plato, Aristotle, Herodotus, dan lain-lain. Socrates (470 S.M. - 399 S.M.) ialah Bapa Falsafah Barat dan pakar dalam perbincangan melalui kaedah soal-jawab bagi mencari jawapan dan kebenaran. Pendekatan yang dipelopori oleh Socrates dianggap oleh pemerintah Athens sebagai cuba meracuni pemikiran rakyat terutama apabila mempertikaikan kewujudan dewa-dewi yang menjadi kepercayaan masyarakat Yunani. Atas dasar ini, beliau telah ditangkap dan dihukum bunuh dengan meminum racun.
Plato (427 S.M. -347 S.M.) merupakan anak murid kepada Socrates telah menyarankan bahawa pemerintah terbaik hendaklah dari kalangan ahli falsafah kerana mereka merupakan manusia yang bijak, mempunyai peribadi mulia, dan lebih mengutamakan kepentingan masyarakat daripada kepentingan diri sendiri. Menurut Plato, penekanan kepada perkembangan ilmu pengetahuan merupakan asas kepada pembentukan warganegara yang baik dan dapat menyumbang kepada kemajuan sesebuah kerajaan. Tugas pemerintah bukan hanya mentadbir, tetapi juga perlu mendidik warganegara menjadi insan yang berbudi bahasa serta mempunyai akhlak yang mulia. Kegigihan Plato dalam mengembangkan ilmu falsafah menyebabkan beliau telah menubuhkan sebuah sekolah, iaitu Academy bagi menggalakkan perkembangan ilmu falsafah dan saintifik. Segala ajaran Scorates telah dikumpulkan dan dibukukan oleh Plato bertajuk Republic yang menjelaskan struktur kerajaan yang paling ideal untuk rakyat.
Seorang lagi ahli falsafah yang terkenal ilah Aristotle (384 S.M. - 322 S.M.). Beliau ialah murid kepada Plato dan mendalami bidang sains dan falsafah. Pemikiran Aristotle berpaksikan kepada kebenaran dan menggunakan akal fikiran yang logik dalam menghadapi persoalan dalam kehidupan. Pemikiran Aristotle telah menyimpan daripada pemikiran sebelum ini yang berteraskan kepada dogma-dogma keagamaan atau teologi dalam mencari kebenaran. Beliau dikatakan orang pertama yang memperkenalkan kaedah pemikiran yang saintifik dalam mencari kebenaran dan dikenali sebagai Bapa Logik. Karya agung beliau ialah Polotics dan Ethics menyarankan supaya manusia menjalani kehidupan bermasyarakat dengan memiliki etika yang baik agar masyarakat dapat hidup dalam keadaan harmonis dan sejahtera. Selain daripada bidang falsafah, Aristotle juga merupakan seorang yang mahir dalam bidang sains tabii, etika, politik, fizik, geologi, dan astronomi. Beliau telah mendirikan sebuah akademi sains yang terkenal di Athens, iaitu Lyceum. Herodotus, seorang ahli falsafah dan sejarawan terkenal menghasilkan karya, History of Persian Wars. Beliau digelar Bapa Sejarah dan Pengasas Sejarah Saintifik yang menggunakan kaedah penyelidikan dalam penulisan sejarah.

|
Plato
|

|
Socrates
|

|
Aristotle
|

|
Herodotus
|